Anāgāmi bermaksud 'sudah tidak berpatah balik lagi' dalam bahasa Pali dan bahasa Sanskrit. Ia merujuk kepada seseorang yang baru separa dicerahi jiwanya. Orang ini sudah memutuskan lima rantai pengikat awal yang mengikat jiwa orang awam. Tahap ini adalah tahap ketiga dalam empat tahap pencapaian kehidupan yang suci.
Anāgāmi tidak akan dijelmakan lagi ke dalam dunia manusia selepas kematian jasadnya. Rohnya akan dijelmakan dalam Śuddhāvāsa atau kediaman murni yang menjadi kediaman bagi mereka yang mencapai tahap ini. Anāgāmi akan mencapai arahant atau pencerahan sempurna di situ.
Perkara-perkara yang merujuk kepada saṃyojana atau rantai pengikat yang mengikat akal fikiran orang awam dan yang sudah diputuskan oleh anāgāmi adalah seperti berikut:
- Sakkāya-ditṭhi, kepercayaan terhadap atmān atau jiwa dalaman
- Sīlabbata-parāmasa, keterikatan kepada upacara
- Vicikicchā, keraguan dan skeptik
- Kāma-rāga, hawa nafsu keinginan tubuh
- Byāpāda, niat yang jahat
- Rūparāga, kecenderungan kepada kewujudan zahir (empat jhana awal)
- Arūparāga, kecenderungan kepada kewujudan yang tidak zahir (empat jhana akhir)
- Māna, takbur dan ujub
- Uddhacca, kegelisahan
- Avijja, kejahilan
Kāmarāga dan Byāpāda yang tidak terdapat pada anāgāmi ini boleh ditafsirkan sebagai nafsu ingin menjadi dan nafsu tidak ingin menjadi. Tahap ini adalah tahap pertengahan antara sakadagami dan arahant. Arahant adalah tahap apabila jiwa seseorang itu menikmati kebebasan dari 10 rantai pengikat jiwa. Pemikiran anāgāmi adalah pemikiran yang sangat murni.